Friday, February 19, 2010

Moga Jodoh Hingga Ke Akhir Hayat

“Semoga panjang jodoh, dan murah rezeki,” ayat ini memang biasa kita dengar diucapkan kepada pasangan pengantin, pada majlis persandingannya. Tetapi, tahukah anda apa yang perlu dilakukan dalam memastikan hubungan suami isteri sentiasa berpanjangan? Erm, jika anda inginkan hubungan yang sentiasa segar bersama pasangan anda, pastikan anda menyemak tips di bawah.

1. Lagu – setiap individu mempunyai lagu kegemaran masing-masing, di mana lagu ini boleh menenangkan hati dan memberi semangat baru kepada pencinta lagu tersebut. Bagi memastikan hubungan anda berdua sentiasa mekar, pilih satu lagu, contohnya “Keabadian Cinta” yang diklasifikasikan sebagai “lagu kita”. Di mana apabila anda mendengar lagu ini, anda akan terasa bahawa pasangan anda sentiasa dekat dengan anda. Biarpun ketika anda dan pasangan berselisih faham, sebaik sahaja mendengar “lagu kita”, anda akan rasa tersentuh dan ingin berbaik semula dengan pasangan anda.

2. Ketawa – kata orang, “ketawa penawar duka,” jadi ketawalah bersama pasangan anda. Apabila anda ketawa, anda akan dapat merasai segala kebahagiaan bersama pasangan anda.

3. Kad – bagi memastikan hubungan anda sentiasa mekar, hadiahkan pasangan anda sekeping kad. Kad ini tidak semestinya diberikan sempena hari lahirnya, hari ulangtahun, valentine dan sebagainya, tetapi berikan kad tanpa sebarang sebab. Nyatakan rasa sayang dan rindu terhadap pasangan anda. Erm… tentunya si dia rasa dihargai.

4. Beri bantuan – pasangan anda akan amat menghargai jika anda seorang yang ringan tulang. Jadi, berilah apa jua pertolongan kepada pasangan anda tanpa disuruh. Tentu si dia akan rasa tersentuh dengan pertolongan anda. Sebagai contoh, bagi suami, jika anda bangun lewat, kemaslah katil tersebut. Jangan tunggu sehingga isteri anda mengemaskannya. Lagipun bukannya susah sangat mengemas katilkan?

5. Pendengar setia – dalam perkahwinan ikatan anda bersama pasangan bukan sahaja terikat sebagai suami dan isteri, malah lebih dari itu. Dengan itu adalah wajar bagi anda untuk mendengar apa jua masalah atau bahan cerita yang ingin disampaikan olehnya. Mendengar tidak semestinya memberikan pandangan atau nasihat. Setakat mendengar itu telah memadai!

6. Memahami – erm, sifat ini sukar untuk dilakukan jika kita tidak berusaha untuk mendekati pasangan kita. Tetapi jika anda cuba untuk memahami pasangan anda, tentu sahaja ia amat mudah untuk dilakukan, dan tentunya tidak akan timbul perselisihan faham.

7. Pujian – siapa yang tidak suka dipuji? Tentu sahaja anda juga suka dipuji. Dengan itu, jika pasangan anda melakukan sesuatu yang membuatkan anda terhibur, berikanlah si dia pujian. Dengan pujian, anda akan dapati pasangan anda lebih komited dan berusaha untuk menyelami hati anda. Itukan bagus…

8.Telefon – hai… ramai yang beranggapan perasaan rindu akan ‘merosot’ sebaik sahaja telah mendirikan rumahtangga. Anda silap! Sebenarnya perasaan ini akan terus menyala dan perasaan itu akan semakin memuncak, apabila salah seorang tiada di sisi. Contohnya, suami yang terpaksa bekerja di luar daerah akan menyebabkan si isteri kerinduan. Lebih-lebih lagi jika tempoh bekerja itu memakan masa yang lama. Jadi… apalah salahnya jika anda menelefon pasangan anda, setiap hari apabila anda berjauhan dengan pasangan anda, biarpun dalam jangka masa yang singkat!

9. Memimpin tangan – ha… ini lagi satu… Entah mengapa setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga, jarang sekali yang saling memimpin tangan di tempat awam. Sedangkan masa bercinta dulu, seolah-olah tak boleh lepas! Apa kata anda memimpin tangan pasangan anda, walaupun di tempat awam. Tentunya pasangan anda lebih rasa selamat dalam pegangan anda.

10. Memeluk – peluklah pasangan anda setiap hari. Pelukan merupakan salah satu cara menyatakan perasaan sayang anda kepada pasangan anda. Impulse itu akan meresap ke dalam diri pasangan anda serta merta! Nyatakan rasa sayang anda bukan sahaja dengan kata-kata, malah pelukan juga berkesan! Bukan susahkan? Selamat mencuba dan semoga anda dan pasangan dipanjangkan jodoh sehingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment