Saturday, February 27, 2010

Pentingnya Urutan Dan Rawatan Selepas Bersalin

Amalan mandi 44 air rebusan rempah ratus penting untuk buang hanyir darah pada badan


SELEPAS bersalin, wanita sanggup berpantang 44 hari untuk mendapatkan bentuk badan asal. Namun bagi yang pertama kali menjadi ibu, tempoh itu dirasakan begitu menyeksakan.

Sepanjang berpantang, wanita terpaksa mendisiplinkan diri dengan mengamalkan rawatan tradisional untuk kesegaran badan selain mengembalikan bentuk tubuh yang sudah ‘lari’ daripada potongan asal.

Pemilik Dratu Beauty Spa and Salon, Wan Noormala Wan Lah, berkata banyak pantang larang yang perlu dititik beratkan wanita selepas bersalin termasuk menjalani rawatan mandi air rebusan rempah ratus, bertungku, mengurut dan berbengkung.

“Keempat-empat rawatan ini adalah amalan masyarakat Melayu dalam usaha mengekalkan kecantikan dan kesihatan diri. Malah, bagi wanita yang mementingkan kesihatan amalan berkenaan dianggap peluang memulihkan kesihatan dalaman yang sekian lama terabai,” katanya.

Beliau berkata, amalan paling utama selepas berpantang adalah mengurut kerana ia dapat melancarkan perjalanan darah.

“Seelok-eloknya badan diurut sebulan sekali selepas habis pantang terutama di perut kerana angin berkumpul di situ. Kebanyakan penyakit yang datang dalam tempoh berpantang juga berpunca daripada perut.

“Selepas bersalin, kedudukan peranakan wanita sedikit ‘lari’ daripada kedudukan asal. Urutan bertujuan menaikkan rahim dan tidak boleh dilakukan dengan kasar terutama di perut kerana ia dikhuatiri menyebabkan kecederaan dalaman,” katanya.

Urut katanya, bukan saja untuk wanita selepas bersalin. Malah, membantu membetulkan organ dalaman wanita supaya kembali berfungsi dengan baik.

Katanya, bagi wanita yang ingin mencuba sendiri urutan di rumah, bahan mengurut boleh disediakan sendiri seperti minyak kelapa, tiga camca besar halba, halia sebesar ibu jari, kunyit hidup, tiga ulas bawang putih dan lima biji bawang merah.

“Minyak kelapa itu boleh dihasilkan sendiri menggunakan santan daripada sebiji kelapa yang dimasak hingga menjadi minyak. Urutan juga merangsang pembakaran lemak di bahagian tubuh bermasalah supaya ia mudah dibakar,” katanya.

Beliau berkata, amalan mandi 44 jenis air rebusan rempah ratus seperti daun inai, serai wangi, daun pisang kering, bunga kantan dan daun kunyit juga penting bagi membuang bau hanyir darah yang melekat pada badan selain mengembalikan kesegaran.

“Mandian air rebusan rempah ratus ini perlu disediakan tidak terlalu sejuk, kepanasan air mandian berkenaan bergantung kepada ketahanan individu. Tubuh wanita yang baru melahirkan anak biasanya mengeluarkan bau tidak enak iaitu hanyir darah ketika melahirkan anak,” katanya.

Wan Noormala berkata, bagi membentuk semula tubuh, ibu bersalin perlu memakai bengkung sepanjang tempoh berpantang.

“Amalan berbengkung dapat mengempiskan perut selain mengecutkan rahim bengkak selepas bersalin. Bengkung perlu dipakai sekurang-kurangnya lima jam sehari dan jika mampu wanita digalakkan berbengkung semula pada sebelah malam.

“Pemakaian bengkung sehingga paras paha lebih digalakkan, kerana ia membentuk semula bahagian badan yang berlemak. Malah, untuk mengembalikan bentuk tubuh asal ibu bersalin digalakkan memakai bengkung selama 44 hari,” katanya.

Beliau berkata, sebelum berbengkung, wanita perlu bertungku bagi mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku yang tertinggal di dalam perut. Tungku yang dilapik dengan kain dibalut bersama daun mengkuang dan pandan.

“Amalan bertungku juga berkesan untuk membuang lendir angin selain memecahkan lemak degil. Bertungku dilakukan sekurang-kurangnya setengah jam dan bahagian paling dititikberatkan adalah paha dan perut,” katanya.

Beliau berkata, sebelum mengakhiri rawatan ibu bersalin juga akan diberi minuman herba iaitu campuran kunyit, asam gelugur, daun sirih dan gula Melaka. Minuman ini berkhasiat mengembalikan tenaga wanita selepas melalui perit melahirkan anak.

“Selain mengecutkan rahim, minuman ini merangsang aroma badan lebih wangi,” katanya.


FAKTA: Rawatan selepas bersalin

Mandi air akar kayu dan rempah
-Membuang bau hanyir
-Mengembalikan kecergasan badan
-Mencantumkan urat putus

Urut
-Melancarkan pengaliran darah
-Menaikkan rahim
-Membetulkan urat
-Memecah lemak
-Membentuk tubuh

Bertungku
-Mengecutkan rahim bengkak
-Memecah lemak
-Membuang angin dalam badan
-Merangsang peredaran darah
-Memanaskan badan

Berbengkung
-Mengembalikan bentuk badan
-Mengelak risiko perut buncit
-Mengekalkan kepanasan tubuh

Minuman Herba
-Memanaskan badan
-Mengurangkan berat
-Mewangi tubuh
-Membuang toksin dalam badan


FAKTA: Khasiat tumbuhan

Avocado
- Paling banyak digunakan dalam industri pembuatan produk kosmetik.
- Dikenali dengan nama saintifik ‘Persea americana’
- Berasal dari keluarga ‘Lauraceae’.
- Banyak terdapat di Selatan Amerika.
- Isi buah ini kaya dengan protein.
- Mengandungi vitamin A, B, C dan E.
- Mengandungi 17-27 peratus minyak. Manakala, lemak tumbuhan ini diekstrak untuk kegunaan industri kosmetik.
- Komposisi minyak, vitamin dan protein yang tinggi menyebabkan buah ini banyak digunakan pengeluar kosmetik.
- Memberi lembapan kepada kulit selain digunakan juga untuk pembersihan kulit muka.
- Vitamin E yang yang terkandung dalam avacado membantu memperbaiki sel kulit mati atau rosak

Zaitun
- Turut dikenali sebagai ‘Olea europaea’
- Buah Zaitun digunakan sebagai bahan kosmetik dan masakan.
- Tumbuhan ini digunakan untuk kecantikan dan kesihatan rambut.
- Kandungan protein dan lembapan minyak zaitun membantu melebat serta menyihatkan rambut.

Lobak merah
- Nama saintifiknya ‘Daucus carota’
- Selain sumber makanan, lobak merah berkesan menambah seri wajah serta menampakkan pipi kelihatan kemerah-merahan.
- Ia juga amat sesuai jika diamalkan bakal Raja Sehari untuk menaikkan seri wajah.
- Lobak merah ini juga dijadikan sebagai penyegar dalam produk kosmetik.

Lidah buaya
- Dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Aloe vera .
- Tumbuhan ini amat mudah hidup dan tahan kemarau.
- Minyak lidah buaya mudah meresap ke dalam kulit kerana ia memiliki kadar kelembapan yang tinggi.
- Kebiasaannya Aloe vera dijadikan ramuan kosmetik.
- Aloe vera digunakan sebagai krim untuk melembap, melindung daripada sinaran matahari, membersih selain digunakan sebagai syampu.
- Mengandungi komposisi zat yang diperlukan kulit
- Tumbuhan ini berkesan menghilangkan kesan parut dan membaikpulih sel kulit yang rosak atau mati.
- Ia juga mampu mengatasi alahan kulit seperti gatal-gatal

Betik- Dikenali dengan nama sainsnya Carica papaya
- Digunakan sebagai pembersih muka.
- Membantu merawat kulit yang luka terutama di tumit kaki akibat alahan simen
- Menyapu getah betik muda pada bahagian tumit pecah dapat menyembuhkan kawasan merekah
- Biji betik membantu menghitamkan rambut beruban

Kacang Soya - Dikenali juga sebagai ‘Glycine max’
- Berasal dari keluarga pea atau ‘leguminosae’
- Air kacang soya dapat memperbaiki kesihatan kulit
- Kacang soya kering mempunyai komposisi protein (40 peratus), karbohidrat (34 peratus), lemak (21 peratus) dan mineral (5 peratus)
- Kandungan protein tinggi membantu individu mendapatkan kulit sihat
- Kacang soya juga mengandungi kalsium, fosforus dan zat besi yang tinggi.

No comments:

Post a Comment