1. SURAH AL-FATIHAH
Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti
dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas.
Insya’Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan.
Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati
sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk
mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari
iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.
2. SURAH YAASIN
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap
sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur’an ialah Surah Yaasin iaitu
jantung Al-Qur’an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya
dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur’an
seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.) Rasulullah s.a.w.
juga bersabda : Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan
sebutan “At-Mu’ammah” (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan
kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan
di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap
keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah
kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan
keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat
Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban). Surah Yaasin ni juga jika
diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.
3. SURAH AT-DHUHAN
Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.
4. SURAH AL-WAQI’AH
Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang
mengamalkan membaca Surah Al-Waqi’ah pada tiap-tiap malam, insya’Allah
tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid,
insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang
membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat As ar, insya’Allah akan
dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas solat Isyak, ambillah
segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali
dan Surah Al-Waqi’ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan
minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan
rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah :
“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan
ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak
pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya
dengan umurnya.
5. SURAH AL-KHAUTHAR
Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000
kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan
kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat
Isyak hingga dia tertidur, insya’Allah dia dapat melihat Rasulullah
s.a.w. dalam tidurnya.
6. SURAH AL-KHAAFIRUUN
Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya
seperti membaca seperempat Al-Qur’an, disamping terlepas dari syirik,
terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang
mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah ini agar
kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.
7. SURAH AL-MULK
Sebuah lagi Surah dari Al-Qur’an iaitu Surah Al-Mulk
mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang
mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w.,
mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat
dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam,
insya’Allah, akan terselamat dari azab kubur..
8. SURAH AL-IKHLAS
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan
baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya : “Wahai Aisyah isteri ku,
sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur’an.” Siti Aisyah lalu
berkata, “Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur’an sebanyak 30
juzuk itu.” Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut,
Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, “Barangsiapa yang
membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur’an
keseluruhannya. ” Dari Rasulullah s.a.w.. pernah bersabda kepada
Saidina Ali r.a., “Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia
hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka
Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi
menerangkan : “Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau
lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati
yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di
dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan
kengerian hari kiamat.”
9. SURAH AL-FALAQ
Siti Aisyah menerangkan : “Bahawa Rasulullah s.a.w. pada
setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas,
Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak
tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa
terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah
membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari,
5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan
syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan
kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100
kali.
10. SURAH AN-NAS
Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam
Al-Qur’an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali
disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk
dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan
manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang
berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga
adalah penerang hati.
credit to : http://jalanakhirat.wordpress.com/2010/05/14/10-surah-al-quran-yang-mujarab/#comment-2041
No comments:
Post a Comment